Monday, November 4, 2013

Apa pandangan kita?

Assalamualaikum dan hi,

Saya amat bersimpati terhadap nasib saudara seagama saya. Saya pernah terbaca yang kalau diikutkan, nasib sahabat Islam kita di Syria sebenarnya lagi diabaikan berbanding di bumi Palestin. Memang kita tahu mereka semua dalam zon tidak selamat, sudah boleh dikatakan darurat. Media pun ada bercerita berkenaan ini. Kalau terbaca berkenaan ini, saya amat sedih. Nasib mereka tidak terbela. Kanak-kanak yang masih muda, didedahkan dengan erti nyawa yang bila-bila masa boleh melayang, mungkin juga dalam usia muda mereka kehilangan keluarga dan anggota badan dalam keadaan menyayatkan hati. Bercakap pasal soal trauma, usah diceritakan. Tragisnya kisah mereka, tiada siapa yang mengerti.

Photo: Assalamualaikum Dan Selamat Pagi Malaysia.

Doakan kemenangan Syria dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia.

Doakan kemenangan Syria dan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia

Photo: Bayi kehilangan kaki sebelum sempat belajar melangkah.

Hanya di Syria!

Bayangkan bagaimana bayi ini ingin melangkah? Bukti kukuh mereka perlukan pembelaan daripada kita semua

Agaknya lah, kalau diberi kita melihat sendiri penderitaan mereka, kita akan buat apa? Adakah berdoa meminta pertolongan kepada Allah S.W.T. atau cuma berdiam diri? Berbalik kepada hati, jika kita mempunyai kuasa, harta dan pangkat, sudah tentu kita tidak mahu nasib warga di sana diabaikan. Ya, mereka semua insan terpilih untuk menghadapi dugaan yang amat dahsyat dan tidak boleh digambarkan. Kita pun perlu sedar, nyawa manusia bukan mainan. Kesedaran yang ada ini, patut kita cuba memberi yang terbaik, dari segi usaha kita berkongsi penderitaan mereka atau lebih baik, menghulurkan seikhlas hati bantuan dari segi wang, bantuan perubatan dan makanan.

Photo: Saat-saat terakhir seorang ayah bersama anaknya :'(

Sebuah kisah harian Syria.

Hari tu saya melihat gambar kanak-kanak di sana, seorang anak perempuan kecil yang rupa parasnya cantik dan berumur 5 tahun jika saya tidak silap, meninggal dunia meskipun mereka tidak berdosa. Kejamnya mereka yang sanggup membunuh insan tidak berdosa itu, kecewanya hati ibu bapa mereka dan tergamak sanggup membuat perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti itu. Semoga mereka yang telah pergi itu ditempatkan di syurga, di mana segala penderitaan yang pernah mereka alami semasa hidup tidak dirasai lagi.

Marilah kita bersama-sama memberi. Juga mengetahui yang setiap apa yang kita doakan untuk saudara Muslim di sana, pasti Allah akan makbulkan.

 Photo: Misi Bantuan Musim Sejuk Kepada Pelarian Syria Di Jordan.

Musim sejuk kembali lagi di bumi Jordan. Sudah menjadi kebiasaan, persiapan rapi akan dilakukan untuk menghadapi sejuk yang menggigit. Selimut dan pemanas dibeli melengkapkan keselesaan. Beberapa hari lalu, kami berkunjung ke dua buah kem yang terletak berdekatan sempadan Syria-Jordan. 2 kem berbeza ini menempatkan 24 keluarga dan yang sebahagiannya adalah kanak-kanak.

Tiada apa persiapan yang mereka lakukan untuk menghadapi musim sejuk yang sudah mula menunjukkan taringnya. Cuma beberapa helai selimut nipis pemberian insan prihatin menjadi pelindung anak-anak kecil di sini. Malah ada yang masih berseluar pendek kerana tiada pakaian tebal yang mampu dibeli.

Seorang kanak-kanak menunjukkan tangan dan muka beliau yang mula kering dan menggelupas akibat sejuk. Mereka tidak punya pemanas untuk memanaskan badan apatah lagi air panas untuk mandi. Beberapa minggu lalu, ramalan kajian mengatakan Jordan akan mengalami musim sejuk yang paling sejuk untuk tempoh 100 tahun! Tahun lalu, bandar Mafraq, Jodan yang dihuni ratusan ribu pelarian Syria ini dihujani salji. Bayangkan kesejukan yang perlu ditanggung oleh mereka di dalam khemah-khemah senipis kain guni.

Juga pelarian yang tinggal di rumah-rumah dengan hanya bertemankan selimut biasa! Benarlah, kita tidak perlu menjadi rakyat Syria untuk bersimpati, tetapi kita hanya perlu menjadi manusia untuk sama-sama merasa. 

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Tangisan Syria Di Bumi Jordan melancarkan misi bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria di Jordan.

Untuk sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan saya di: 

FB: https://www.facebook.com/musa.nuwayri?fref=ts

Untuk bantuan ke misi ini, boleh terus bank-in ke: 03010106139527(CIMB) atas nama Ahmad Musa Al-Nuwayri(Koordinator Tangisan Syria Di Bumi Jordan)

Memandangkan akaun ini sudah dikhaskan untuk pelarian Syria yang ramai, jadi sebarang bank in terbaru untuk misi ini perlu dimaklumkan kepada kami untuk diasingkan.

Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang saudara sesama Islamnya, maka mereka bukan termasuk dalam kalangan kami."

Usah Sedih Jika Anda Tidak Mampu, 'SHARE' Juga Sudah Sangat-Sangat Membantu.

Ini saya sertakan Facebook page bagi siapa yang ingin membantu:
Tangisan Syria Di Bumi Jordan
https://www.facebook.com/TangisanSyriaDiBumiJordan

Semua gambar ini saya ambil dari page berkenaan. Saya ingin menyatakan, cukuplah penderitaan mereka. Mungkin sedikit daripada rezeki yang kita ada, juga merupakan rezeki mereka. Mari kita semua berdoa dan bersedekah demi rakyat Syria ini.

Terima kasih.


0 comments:

Post a Comment